Apabila lengkap pemeriksaan atau ujian kesuburan dijalankan, barulah rawatan akan dibincangkan. Setiap rawatan berbeza bagi setiap individu bergantung kepada keputusan sama ada perlukan rawatan tertentu seperti kaedah ICSI (jika mempunyai masalah sperma) atau Cuma ubat-ubatan sahaja. Harus diketahui umum, dalam isu kesuburan, tiada suatu rawatan yang boleh menjamin kejayaan 100%. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi peluang kehamilan seperti gaya hidup, usia wanita, tabiat merokok dan lain-lain lagi. Perkara yang penting dalam melalui semua proses ini adalah kecekalan dan kesungguhan.

Terdapat beberapa rawatan yang boleh membantu pasangan untuk hamil. Ianya bergantung kepada punca dan keputusan ujian yang dijalankan.

Rawatan termudah adalah dengan membantu pasangan menentukan bila waktu subur mereka dalam setiap bulan terutamanya bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur kerana mereka kurang pasti waktu ovulasi. Di klinik, kami mendapati satu per empat dari wanita mempunyai masalah ovulasi dan ini biasanya dapat diselesaikan tanpa memerlukan kos rawatan yang tinggi. Terdapat ubatan yang boleh mengawal ovulasi seperti Clomiphene.

Sekiranya tidak berjaya selepas beberapa bulan atau ada masalah lain seperti masalah sperma, adalah tepat untuk meneruskan dengan kaedah permanian beradas atau dikenali sebagai Intrautrerine Insemination (IUI). Sekiranya tidak berjaya atau mempunyai masalah seperti saluran fallopian tersumbat atau mungkin kurang bilangan sperma, maka bolehlah diteruskan dengan kaedah bayi tabung uji (IVF) atau kaedah Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) mungkin diperlukan.